Tuesday 19 April 2011

SOLAT HAJAT BERSAMA PENEMAN PESAKIT HUSM


31 Mac 2011 - Pendedahan aktiviti kerohanian kepada staf dan juga kepada pesakit serta peneman pesakit merupakan sebahagian daripada aktiviti dalam merealisasikan konsep Hospital Mesra Ibadah di HUSM ini. Sehubungan dengan itu Unit Hal Ehwal Islam telah merancang untuk melaksanakan program solat hajat bersama peneman pesakit HUSM sebulan sekali bertempat di Surau HUSM.

Pendedahan ini adalah bertujuan untuk menyuntik kesedaran dan memberi semangat kepada mereka yang sedang diuji dengan ujian kesakitan bahawa setiap ujian dan kesembuhan itu datangnya daripada Allah.

“Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku” (Surah Asy-Syu’araa’: 80)
Terapi solat dapat mendidik hati supaya bertaqwa kepada Allah SWT.

”Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk” (Surah al-Baqarah: 45)

Sehubungan itu, Unit Hal Ehwal Islam HUSM merancang melaksanakan solat hajat bersama peneman pesakit HUSM dalam memberi pendedahan kerohanian kepada mereka akan kesembuhan merupakan Kudrat dan Iradat Allah.
Selain itu jamuan juga turut disediakan bagi meringankan beban peneman pesakit dan meraikan mereka dengan menghubungkan silaturahim antara peneman pesakit dengan warga HUSM umumnya; sebahagian peneman pesakit terpaksa menunggu waris atau ahli keluarga yang terlantar sakit sehingga berbulan-bulan lamanya. Di harapkan program sebegini dapat memberi manfaat bersama.

Monday 11 April 2011

CSE: Kejayaan Material vs Kejayaan Spiritual

Orang yang bersifat kejayaan material meletakkan kejayaan sebagai miliknya seorang tanpa memikirkan orang lain dan tiada keseimbangan dalam hidup contohnya kaya harta benda tetapi jiwanya kosong. Manakala, Orang yang bersifat kejayaan spiritual meletakkan kejayaan mereka sebagai kejayaan bersama dan dia tidak mahu kejayaan yang dimilikinya menjadi miliknya seorang. Contohnya, dia mahukan kejayaan yang diusahakan adalah hasil daripada saling bantu membantu diantara satu sama  lain.

Adapun Islam mementingkan keseimbangan diantara material dan spiritual iaitu untuk mendapatkan keberkatan dan keredhaan hidup di dunia mahupun kehidupan di akhirat. Sebagaimana contoh, apabila kamu menyelesaikan solat dan berdoa maka bersegeralah kamu untuk pergi bekerja. Dan ini adalah keseimbangan yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kejayaan material dan kejayaan spiritual                                 
Mencari kekayaan bukanlah sesuatu yang dilarang, yang penting adalah bagaimana kita memperolehi kejayaan tersebut dan bagaimana menggunakan kekayaan tersebut. Contoh yang terbaik adalah Rasul Junjungan kita Nabi Muhammad SAW, mempunyai sifat jujur dan amanah dalam perniagaan.  Selain itu, contoh yang terbaik adalah Saiditina Khadijah yang menjadikan kekayaan sebagai perjuangan untuk agama Islam. Saidina Abu Bakar menggunakan kekayaan beliau untuk membebaskan hamba dan menjadikan kekayaan semata-mata untuk Islam. Ini adalah contoh yang terbaik untuk mendapat keseimbangan material dan spiritual. Oleh itu, material amatlah penting untuk perjuangan agama asalkan material itu halal dan perjuangan agama itulah sebagai spiritual kerana umur yang panjang tidak penting, yang penting sumbangan kita kepada Agama dan orang lain.