Wednesday, 30 March 2011

CSE 2 : Menghayati Sunnah Rasulullah SAW Dalam Kehidupan.

Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1432 H, pihak Unit Hal Ehwal Islam tidak melepaskan peluang untuk turut serta meraikan sambutan tersebut dengan mengadakan slot ceramah Maulidur Rasul yang  diselitkan dalam program Continuous Spiritual Education (CSE) yang mana merupakan program bulanan Unit Hal Ehwal Islam dengan tajuk ’Menghayati Sunnah Rasulullah SAW Dalam Kehidupan’. CSE dilaksanakan secara berkala iaitu sebulan sekali kepada warga Hospital USM; bertujuan memberi pendedahan kerohanian atau motivasi kerohanian kepada staf dalam melahirkan modal insan yang berintegriti.
Program tersebut dilaksanakan pada 20 Februari 2011 (Ahad), bertempat di Auditorium Perubatan Nuklear HUSM yang mana seramai 271 orang peserta telah membanjiri dewan untuk mendengar ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Zamri bin Abdul Halim, Pegawai Penyelaras Bahagian Takmir (Pegawai JAKIM) yang mana beliau bertugas di Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Perbahasan yang cuba dikupas pada sambutan tersebut iaitu mengenai penghayatan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan kita seharian. Menurut beliau, penghayatan sunnah Baginda Rasulullah SAW bukan hanya pada setiap kali sambutan Maulidur Rasul sahaja dengan berselawat ke atas junjungan besar Nabi SAW bahkan setiap detik dan setiap ketika kita perlu menghayatinya. Beliau juga turut menceritakan sirah Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan yang perlu dan sepatutnya dihayati seterusnya diamalkan dalam kehidupan kita seharian seperti pergaulan Nabi SAW dalam keluarga, dengan para sahabat, orang tua, anak-anak kecil dan sebagainya. Selain itu banyak maklumat yang menarik turut dikongsi bersama peserta.
Slot ceramah tersebut memakan masa 1 jam 30 minit memberi impak yang mendalam dalam diri setiap individu peserta. Daripada penilaian program yang dilaksanakan, secara keseluruhannya para peserta berpuas hati dan memberi komentar yang baik. Walaubagaimanapun untuk penambahbaikan pada program seterusnya perlu kepada pemilihan tajuk yang baik dan sesuai; memberi tarikan kepada staf HUSM seterusnya memberi kesan dalam diri setiap yang hadir.

No comments:

Post a Comment